PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Putrajaya Holdings ditahan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan tender bernilai RM300 juta.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini.
Suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di mahkamah jam 9.25 pagi dan selesai melalui proses reman pada jam 1.10 tengah hari.
CEO berusia 59 tahun itu ditahan SPRM tengah hari semalam bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya bernilai kira-kira RM300 juta.
SPRM juga telah melakukan serbuan ke tiga lokasi di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes berkenaan.
Menurut sumber, lelaki tersebut dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasi beberapa proses projek pembinaan yang sedang dijalankan.
“Projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, kontrator terbabit gagal melaksanakannya.
“Ia kemudian diberi kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan Datuk terbabit dan perkara tersebut dipercayai memang telah dirancang dari awal,” katanya.
- MalaysiaGazette