MEXICO CITY – Dalam tempoh kurang daripada sembilan bulan, seramai 132 calon pilhan raya di Mexico dibunuh sehingga mengundang kebimbangan dalam kalangan ahli politik malah rakyat negara itu.
Agensi berita melaporkan, sebuah firma risiko dan pengurusan krisis, Etellekt, mengeluarkan angka berkenaan sejak sembilan bulan lalu.
Malah Etellekt melaporkan, selain insiden pembunuhan ada juga perlakuan jenayah lain seperti culik dan peras ugut sepanjang waktu terutamanya melibatkan pemimpin politik.
“Sebanyak 22 daripada 32 negeri di Mexico menyaksikan pembunuhan bermotif politik sejak kempen bermula September tahun lalu lagi.
“Semua ini sangat membimbangkan dan mengerikan terutamanya apabila membabitkan calon-calon yang mahu bertanding dalam pilihan raya secara demokratik dan adil.
“Ini juga menunjukkan ada pihak mencabar keselamatan dan urus tadbir demokratik di lokasi berkenaan dan ada kemungkinan melumpuhkan sesebuah parti politik,” kata Etellekt dalam laporannya.
CNN melaporkan, antara insiden terbaru yang menguatkan lagi kebimbangkan umum termasuk pembunuhan tembak jarak dekat kepala seorang calon Kongres, Fernando Puron selepas mangsa menamatkan debat di negeri utara Coahuila.
Terdahulu beberapa jam sebelum insiden itu, Puron dengan berkobar-kobar berikrar akan menghentikan segala jenis jenayah yang sedang berlaku disekelilingnya terutama insiden pembunuhan calon pilihan raya.
Puron merupakan anggota Parti Revolusi Institusi yang kehilangan 12 calon kerana serangan bersenjata dan ada dakwaan mengatakan kartel dadah merupakan dalang disebalik kejadian tersebut.
Banyak pihak mengkritik Presiden Enrique Peña Nieto yang mengambil alih pada 1 Disember 2012, kerana gagal mengawal jenayah berkaitan dadah ketika mentadbir Mexico. – MalaysiaGazette