KUALA LUMPUR – Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi menjerit, melakonkan semula detik Zulfarhan Osman ditekap seterika dengan kaki dan tangannya diikat oleh rakan-rakan seuniversitinya, tahun lalu.
“Tolong!!!!! Panas!!!!!,” jerit Ahmad Senabil Mohamad, 22, penuntut tahun tiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), sambil berdiri di kandang saksi selepas diminta Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah untuk melakonkan detik itu pada prosiding perbicaraan hari ke-12, hari ini.
Ahmad Senabil merupakan individu yang melihat Zulfarhan Osman ditekap dengan seterika wap di dalam bilik 4-10, asrama penginapan UPNM antara jam 4 pagi dan 6 pagi, 22 Mei 2017.
Terdengar istighfar ‘Allahuakhbar’, ‘astaghfirullah’ dari galeri awam yang dipenuhi keluarga mangsa, keluarga tertuduh, pihak media dan orang awam yang mengikuti prosiding perbicaraan itu.
Ibu Zulfarhan Osman juga kelihatan tidak mampu menahan sebak dan menangis mendengar jeritan itu.
Mengimbas kejadian itu, saksi pendakwaan ke-24 yang merupakan penghuni bilik 3-06, iaitu rakan sebilik Zulfarhan Osman berkata dia telah pergi ke bilik 4-10 tersebut pada kira-kira 12 tengah malam berkait kes kecurian komputer riba yang dikatakan membabitkan Zulfarhan Osman.
Di bilik itu, Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang merupakan tertuduh keenam telah bertanyakan beberapa soalan kepada Zulfarhan Osman namun mangsa dikatakan memutar belit jawapan menyebabkan Abdoul Hakeem terus menumbuk perut mangsa sebanyak dua kali diikuti seorang lagi tertuduh iaitu Muhamad Danial Firdaus Azmir.
Ahmad Senabil berkata Abdoul Hakeem kemudian menyuruh Zulfarhan Osman membuka seluar dan terus menyambung memukul mangsa sebelum tidak lama kemudian lebih dari 10 individu lagi masuk ke bilik itu.
Saksi itu berkata selain memukul menumbuk dan menendang mangsa yang ketika itu hanya memakai seluar pendek ‘boxer’, Abdoul Hakeem turut memukul menggunakan penyangkut baju manakala Danial Firdaus menggunakan batang penyodok sampah.
Katanya ketika dipukul, Zulfarhan Osman memberitahu dia tidak mengambil komputer riba itu namun Abdoul Hakeem dan Danial Firdaus terus memukul mangsa.
Ahmad Senabil berkata sehingga 3.30 pagi, beberapa individu yang berada di dalam bilik itu pulang ke bilik masing-masing dan meninggalkannya bersama Abdoul Hakeem, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, Muhammad Najib Mohd Razi dan Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan seorang lagi yang dikenali sebagai Mohd Syafiq.
Katanya ketika itu Muhammad Akmal Zuhairi telah memegang satu seterika wap dan sambil Abdoul Hakeem yang duduk di atas kerusi bertanyakan soalan, Muhammad Akmal Zuhairi telah menekap seterika itu di kaki dan badan Zulfarhan Osman.
“Zulfarhan meronta dan sepanjang ditekap seterika dari 4 pagi sehingga Subuh dia menjerit dengan kuat,” katanya menambah tidak lama kemudian Muhammad Azamuddin juga mula memukul mangsa.
Kepada soalan Othman siapa lagi yang menekap seterika kepada Zulfarhan Osman selain Muhammad Akmal Zuhairi, saksi itu berkata mereka ialah Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin, Muhammad Azamuddin dan Muhammad Najib.
Ketika ditanya bagaimana keadaan Zulfarhan Osman ketika itu, Ahmad Senabil berkata mangsa yang menggelupur meniarap sambil kedua tangannya diikat ke belakang dan kakinya juga diikat dengan tali pinggang taekwondo.
“Disebabkan Zulfarhan Osman masih tidak mengaku, Abdoul Hakeem menyuruh Akmal Zuhairi berhenti dan membuka ikatan mangsa,” katanya menambah Muhammad Akmal Zuhairi kemudian mencuci lantai bilik itu yang mempunyai kesan peluh dan darah mangsa.
Terdahulu Ahmad Senabil juga memberitahu dia telah membuat satu laporan polis dua minggu lalu berikutan bapa kepada Muhammad Najib telah mengugutnya supaya mengubah kenyataan dan tidak bercakap benar mengenai kejadian itu.
Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangĀsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 16 Ogos.
— BERNAMA