Home Nasional Mat Sabu buat kejutan baca khutbah Jumaat

Mat Sabu buat kejutan baca khutbah Jumaat

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini membuat kejutan apabila membacakan khutbah Jumaat di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai di Ipoh, Perak.

“Saya telah menyampaikan khutbah dan menunaikan solat Jumaat di Surau Salahuddin Al Ayubi, Batalion ke-23 RAMD, Kem Gua Permai,Ipoh,” katan beliau yang berkongsikan perkara itu di Facebook.

Menerusi khutbah tersebut, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyampaikan pesanan mengajak umat Islam supaya berani mengakui kesilapan dan sanggup lakukan pembetulan agar menjadi umat lebih mulia.

Malah, beliau turut mengingatkan lebih baik mengamalkan sikap merendah diri dan segera meminta ampun setelah berbuat kesalahan.

“Sama ada pihak yang berkuasa atau tidak berkuasa, renung dan sanggup membuat pengislahan (pembaharuan) supaya kita dapat kembali memimpin atas muka bumi ini.

“Kita kena akui kelemahan dengan penuh tawaduk dan sama-sama membina kembali kesilapan dilakukan orang Islam sama ada pemimpin atau umat Islam lain secara umum,” ujarnya.

Tindakan Mohamad Sabu itu merupakan kali pertama dilakukan sejak beliau menerajui Kementerian Pertahanan dan didengari kira-kira 750 pegawai dan anggota RAMD.

Turut hadir menunaikan Solat Jumaat di surau berkenaan, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu serta Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Solat Jumaat diimamkan, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. – MalaysiaGazette