PUTRAJAYA – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menggelar Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai penderhaka negara.
Menurut beliau, tindakan Guan Eng yang berkeras tetap mahu menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementeriannya amat memeranjatkan.
Ujarnya, Guan Eng selaku Menteri perlu lebih mengutamakan bahasa Melayu kerana beliau akan mengangkat sumpah setia kepada negara Malaysia, melindungi dan mempertahankan Perlembagan negara.
“Siapa saja yang melanggar (Perlembagaan Persekutuan) saya anggap sebagai “penderhaka kepada bangsa dan negara”.
“Saya nak tekankan ini bukan soal politik tetapi kita nak mempertahankan Perlembagaan yang termaktub sebegitu lama dalam perpaduan negara kita dan juga saya juga nak menarik perhatian peristiwa 13 Mei,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bagi memartabatkan Bahasa Melayu di Kementerian Kewangan hari ini.
Lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi menyatakan sokongan terhadap bantahan terhadap kedegilan Guan Eng itu.
Abu Zahar mengulas mengenai tindakan Guan Eng pada 24 Jun lalu yang berkeras untuk mengeluarkan kenyataan media Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.
Tindakan itu dilihat tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. -MalaysiaGazette