PULAU PINANG – Pemilihan UMNO esok akan menyaksikan seramai sembilan daripada 13 Ketua Bahagian di Pulau Pinang disahkan menang tanpa bertanding.
Sembilan bahagian itu adalah Kepala Batas; Permatang Pauh; Bukit Mertajam; Batu Kawan; Nibong Tebal; Tanjong; Jelutong; Bukit Gelugor dan Bayan Baru.
Empat lagi bahagian iaitu Tasek Gelugor; Bagan; Bukit Bendera dan Balik Pulau pula bakal menyaksikan perebutan Ketua Bahagiannya dengan Tasek Gelugor berdepan persaingan tiga penjuru.
Di Tasek Gelugor, penyandang Ketua Bahagiannya, Datuk Shabudin Yahaya yang juga Ahli Parlimen kawasan itu akan dicabar Muhammad Yusoff Mohd. Nor dan Roslan Abdul Rahim.
Sementara itu, daripada senarai sembilan Ketua Bahagian UMNO yang menang tanpa bertanding, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendahului senarai apabila tidak dicabar di Bahagian Kepala Batas.
Malah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu turut bertanding bagi mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang disandangnya ketika ini.
Selain Reezal Merican, dua lagi calon dari Pulau Pinang turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan MT UMNO iaitu Datuk Sheikh Hussein Mydin dan Datuk Dr. Muhamad Farid Saad.
Di peringkat negeri, Sheikh Hussein dan Muhamad Farid turut bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian masing-masing iaitu di Bagan dan Balik Pulau.
Sheikh Hussein yang juga penyandang Ketua Bahagian Bagan akan dicabar Muhammad Afendi Azni manakala Muhamad Farid akan ditentang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dalam perebutan menentukan Ketua Bahagian Balik Pulau yang baharu.
Senario hampir sama turut berlaku dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang apabila tujuh daripadanya disahkan menang tanpa bertanding.
Bagaimanapun, dua bahagian iaitu Batu Kawan dan Balik Pulau pula bakal menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan tersebut selepas masing-masing ditandingi tiga dan empat penjuru.
Dalam pada itu, keputusan pemilihan UMNO peringkat negeri esok juga bakal memuktamadkan siapakah yang akan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Zainal Abidin sebelum ini mengumumkan meletakkan jawatan selepas kekalahan teruk UMNO di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan Reezal Merican disebut-sebut paling layak menggantikan beliau. – MalaysiaGazette