Home Seni Hidup Irama metal bersatu di Pasir Gudang

Irama metal bersatu di Pasir Gudang

Barisan artis yang terlibat Konsert Rockstars dan Konsert Metal Legend II Live In Jb di Stadium Perbandaran Pasir Gudang pada 7 dan 8 September ini.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali peminat muzik di selatan tanahair bakal disajikan dengan persembahan nama-nama besar dalam arena rock dan metal tempatan seperti Ella, Cromok, Prime Domestic dan Sil Khannaz dalam Konsert Rockstars dan Konsert Metal Legend II Live In Jb di Stadium Perbandaran Pasir Gudang pada 7 dan 8 September ini.

Kedua-dua siri konsert ini masing-masing dianjurkan secara berasingan oleh syarikat tempatan D Grand Stage Event dan Dreamstage.

Namun, atas rasa kekitaan dalam usaha kedua-dua pihak memartabatkan aliran muzik rock dan metal, kedua-dua pihak penganjur bersetuju untuk menggabungkan kedua-dua siri konsert ini di bawah satu nama iaitu Malam Bintang Lagenda.

Konsert Rockstars bakal yang akan berlangsung pada 7 September menampilkan ratu rock Ella sebagai tarikan utama dan kumpulan Prime Domestic sebagai band jemputan.

Kali terakhir Ella beraksi dalam konsert berskala besar yang seumpamanya dalam Konsert ELLA 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2016. Ella juga pernah menjayakan konsert skala kecil di Esplanade, Singapura dan Dewan Filharmonik Orkestra, Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Meskipun baru sahaja pernah menjayakan konsert perdananya di dua pentas berprestij di Asia, ini tidak menghalang Ella untuk kembali beraksi di pentas marhain. Dalam Konsert Rockstars in, Ella bakal menyajikan persembahan yang lebih mantap dengan pemilihan lagu dan susunan muzik yang lebih bercitarasa peminat ‘rock & roll’.

Persembahan Ella bakal diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan dibawah pimpinan pengarah muzik Aji Samin. Peminat boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu hits malar segar Ella antaranya seperti Dua Insan Bercinta, Kesal dan Kitalah Bintang, yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Ella.

Konsert Metal Legends II Live In JB akan menampilkan kumpuln Cromok yang cukup terkenal dalam persada aliran muzik metal tanahair. Cromok yang dianggotai oleh Sam selaku pemain bass dan vokal, Karl (gitar) serta Miji (dram) adalah kumpulan perintis muzik ‘thrash metal’ tempatan dan sudah 31 tahun dalam industri.

Cromok pula dijangka akan mempersembahkan lagu-lagu hits mereka seperti Another You, I Do Not Belong Here, Misty dan Memories yang pastinya akan memberi sejuta nostalgia buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

Bagi menghangatkan lagi suasana pentas, kumpulan Sil Khannaz turut ditampilkan sebagai band jemputan. Sil Khannaz yang dianggotai oleh Jaie (vokal), Dark-e (gitar), Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) dan Afzal (dram) ini ditubuhkan sejak tahun 1987. Kumpulan lagenda metal yang paling berpengaruh di Malaysia ini antara pejuang muzik ekstrem yang masih aktif hingga kini.

Selain daripada penampilan bintang lagenda yang berwibawa, pihak penganjur turut menjanjikan kelainan dari segi pemilihan lagu, susunan muzik, sistem bunyi, set pentas sehingga kepada penataan cahaya yang terbaik, bagi memastikan konsert ini memberi impak berbeza kepada peminat.

Tambah menarik, ianya bakal memberikan pengalaman baru kepada peminat yang hadir apabila pihak penganjur akan menggunakan sistem bunyi 7:1 Stereo Surround untuk kedua-dua konsert. Ini merupakan pertama kalinya sistem bunyi keliling yang seumpamanya digunakan untuk konsert tempatan.

Sistem bunyi keliling ini bukan sahaja dijangka mampu menampung keperluan bunyi di pentas terbuka seperti lokasi Stadium Perbandaran Pasir Gudang itu sendiri, malah gegaran bunyi yang bakal dihasilkan juga dikatakan mampu memberi kepuasan tahap maksima kepada peminat yang hadir.

Tiket Konsert Rockstars boleh didapati dengan dengan harga RM58 (Lepak Zone), RM78 (Rama-Rama Zone), RM80 (Kasih Zone), RM150 (7.1 Surround Zone) dan RM250 (Gemilang Zone).

Manakala tiket Konsert Metal Legend II Live In JB boleh didapati dengan dengan harga RM48 (Lepak Zone), RM68 (Thrash Zone), RM90 (Hardcore Zone), RM180 (VIP Lepak Zone) dan RM250 (VIP Hardcore Zone).

Tiket boleh dibeli secara online di: http://www.ilassotickets.com. – MalaysiaGazette