Home Nasional Cabaran institusi beraja dan bangsa Melayu

Cabaran institusi beraja dan bangsa Melayu

Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

SEPERTIMANA yang sering saya cungkilkan menerusi apa yang pernah diperkatakan oleh Bapa Proklamasi Indonesia iaitu Soekarno, beliau menyatakan “Bangsa yang lemah ialah bangsa yang tidak mengenal sejarah para pejuangnya mahu pun sejarah bangsanya.”

Itulah yang terjadi hari ini dalam kitaran masyarakat di Malaysia.

Ianya tidak menjurus kepada bangsa Melayu semata namun setiap kaum selaku isi atau pun marga di tanah pusaka tercinta ini, yang begitu jauh dengan sejarah tanahair-nya sendiri.

Ya, apatah lagi buat orang Melayu, semestinya terkena palitan yang cukup besar apabila sejarah tidak diceritakan dengan baik sehingga membungkam kecintaan terhadap bangsa Melayu itu termasuk institusi beraja yang merupakan sendi kepada orang Melayu turut tidak terlepas pudar kecintaannya kesan penekanan sejarah yang tidak bersungguh apatah lagi ada yang turut dilencongkan.

Pun begitu perlu diingatkan institusi beraja tidaklah milik mutlak orang Melayu, ianya milik seluruh warga di Malaysia.

Benteng Melayu dan Bumiputera pada suatu sisinya, harapan setiap anak Malaysia pada sisi yang lain!

Teringat pula akan Risalah An-Nur, nukilan Badiuzzaman Said Nursi yang secara ringkasnya menceritakan dan dapat disimpulkan mengenai ‘nasionalisme’ serta nilai kecintaan terhadap bangsa yang mana beliau ada menyatakan bahawa tidak salah untuk mempunyai semangat kecintaan terhadap bangsa dan itu adalah penting demi memacu kemajuan bangsa, namun jangan sama sekali menanam api rasisme dalam membangun atau membina bangsa tercinta, kerana tiada anjuran bersifat perkauman di dalam Islam.

Secara ringkasnya (mengenai sejarah) saya memetik apa yang diperkatakan oleh Syed Husin Ali, dalam bukunya ‘Sejarah Rakyat (Khususnya Perkembangan Nasionalisme) Malaysia’ yang menjelaskan penceritaan sejarah terbahagi kepada beberapa kelas dan utamanya adalah ‘sejarah rasmi’ yang mana sejarah rasmi adalah penyampaian sejarah yang seringkali ditulis oleh ‘pemenang’ dan biar pun ada kebenaran disebaliknya namun naratifnya diolah demi kepentingan watak-watak pemenang itu sendiri dan ini yang terdapat banyak dalam silibus kita selama ini.

Selain dari sejarah rasmi, terdapat pula ‘sejarah rakyat’ pada sudut pandang Syed Husin Ali dan saya amat bersetuju, ini adalah sisi sejarah yang jarang didengar kerana tiada dalam silibus malah tidak banyak diceritakan atau diterbitkan malah dijual di ‘toko-toko buku’ kerana seringkali digam atau disalah tafsir oleh kelompok ‘pemenang’ yang atas kepentingan-kepentingan tertentu mendakap erat hanya ‘sejarah rasmi’.

Maka sejarah tidak diceritakan dengan baik, bagi umat Islam, selemah-lemah kecintaan adalah kecintaan terhadap bangsa dan sedalam-dalam kecintaan adalah kecintaan terhadap agama.

Jadi, untuk menelusuri usul bangsa bagi proses ‘mengenal’ melalui sejarah sehingga membawa ke sejarah tradisional dalam mendalami dan memahami sendi bangsa iaitu institusi beraja menjadi terlalu jauh!

Maka jauh sekali dalam kalangan kita memahami dan menjiwai sebagai contoh ‘Waadat’! Tanda berpadu kasihnya Raja dan Rakyat.

Bukan semata waadat, kesan dari ini (penceritaan sejarah) semua juga jauh sekali anak Malaysia hari ini! Bukan anak Melayu sahaja, untuk memahami dan menyelami inti 7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang membawa kepada asas Perlembagaan Persekutuan termasuk natijah Kontrak Sosial hingga terjalinnya Rukun Negara.

Yang pada saya turut menjadi kegusaran massa apabila begitu jauh Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam kalangan rakyat untuk menjadi falsafah pembangunan bangsa (bagi orang Melayu), juga perpaduan dan kemajuan seluruh warga Malaysia (Negara Bangsa).

Berbeza kita dengan kebanyakan jiwa di Indonesia yang begitu erat mendakap Pancasila dalam sulaman nadi ‘Bhineka Tunggal Ika’-nya.

Kita harus membangkitkan kembali kecintaan kepada Malaysia, juga kebanggaan akan bangsa Melayu itu dengan mengenal betapa gah dan hebatnya sejarah bangsa demi membangkitkan jiwa membangun selain menelusuri nilai sejarah, perlu ditanam dalam pelbagai aspek nilai membangun dan membina ini menerusi cabang seni dan budaya, sukan dan apa jua cabang yang mampu menjadikan segenap aspek dan kecintaan sesama warga dalam asas ‘trisakti’ (raja-pemimpin-rakyat) yang seharusnya menjadi wadah kini dan tunjang membangun Malaysia Baru.

Jarak jauh antara raja-rakyat dan agenda institusi progresif.

Bercakap tentang konsep ‘trisakti’ yang seharusnya bakal melakar sejarah baharu antara raja dan rakyat, pada sesi forum di Institut Alam & Tamadun Melayu ATMA UKM / UKM baru-baru ini, Prof. Madya Dr. Shamrahayu salah seorang panelis yang bersama-sama saya ada membangkitkan kegusaran mengenai slogan ‘hidup rakyat’ yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) malah turut dimanipulasi oleh Barisan Nasional (BN) dan terpampang pada kain rentang kempen PRU14 baru-baru ini.

Kegusaran beliau adalah kerana setelah PH mengambilalih tampuk pemerintahan dari rejim BN, dalam konsep keterbukaan mengkritik yang dibawa oleh PH hari ini, amat merisaukan apabila ada pihak yang secara terbuka mengkritik institusi diraja.

Pada pandangan penulis, there’s an opportunity in every difficulties dan selama merdeka, sehingga kemenangan PH pada PRU14 baru-baru ini, terus-terang inilah kali pertama lembaran raja dan rakyat berputik kembali, terakhir adalah sewaktu kebangkitan menentang Malayan Union.

Kerana itu sepertimana yang ditekankan mengenai sejarah yang tidak diceritakan dengan baik, termasuk kisah perjuangan rakyat yang kasih-kan raja-nya.

Umum ketahui, British memilih sebuah parti UMNO yang lahir dari ‘istana’ untuk bekerjasama memerdekakan Tanah Melayu ketika itu, sejak dari itu parti selain UMNO khususnya kelompok kiri seperti PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan beberapa kelompok lain begitu banyak terpalit dengan fitnah bahawa kelompok ‘kiri’ ini anti-kesultanan atau sistem beraja!

Walhal British ‘memilih’ UMNO dari kelompok bangsawan sekaligus menyebar propaganda bersama-sama UMNO bertahun lamanya bahawa kelompok kiri ini adalah radikal terhadapa istana.

Ditekankan, tanpa pejuang nasionalis terdahulu seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako, Burhanuddin Helmi dan mereka yang lain dari kelompok Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) sehingga membawa kepada penubuhan dan diharamkan PKMM, yang merupakan suara kebangkitan kemerdekaan dari kalangan rakyat yang turut berpaksikan raja-nya, mana mungkin jika tiada gerakan dari rakyat ini yang terlebih dahulu meniup api kemerdekaan, jika tiada mereka (kelompok pejuang rakyat) tidak akan menjadi punca sehingga tertubuhnya UMNO dari istana.

Namun sepertimana sejarah mengajar kita, sejak penentangan Malayan Union yang menghubungkan segenap gerakan rakyat yang menjadi nadi kepada institusi beraja dan apabila UMNO mengambil-alih segala perbincangan sehingga merdeka dan mendampingi istana sekian lamanya.

Berani saya katakan, semenjak itu malah lebih 60 tahun lamanya rakyat sebenarnya terpisah dengan raja-nya.

Ini kerana apabila peranan politik kepartian sudah berakar dan kini bernanah di istana.

Maka kesan sebuah parti yang ‘menunggang’ kedudukan istana seperti UMNO hakikatnya telah memisahkan raja dari rakyat.

Ditambah apabila dominasi kemenangan UMNO dalam demokrasi berparlimen sejak 60 tahun lalu menjadikan istana atau institusi beraja seakan hak eksklusif UMNO malah bukan orang Melayu itu sendiri dan kesan dari ini sebenarnya yang telah merosakkan UMNO hari ini, apabila lahir ramai kelompok elitis yang bukan semata mendampingi namun mempergunakan institusi beraja.

Sekali lagi kita harus sedar, di suatu sisi institusi beraja adalah eksklusif sebagai benteng Islam dan Melayu manakala disuatu sisi pula adalah inklusif sebagai petunjang kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mampu menjadi nadi perpaduan dan kemajuan negara kerana menerusi institusi inilah dari wakilnya meletakkan mereka selaku ketua negara.

Maka, tidak wajar sama sekali institusi ‘sakral’ ini ditunggangi mana-mana parti politik meskipun raja-raja Melayu perlu terlibat dalam ‘siasah’ negara.

Kerana itu dianjurkan kepada institusi beraja, jangan lagi menghumbankan diri dalam kancah politik kepartian.

Maka sejak kemenangan Malaysia Baru ini, jaringan ‘trisakti’ Raja-Pemimpin (parti/eksekutif)-Rakyat kini terjalin kembali. Tiada lagi UMNO dan berharap PH juga tidak mengambil kesempatan membuat kesilapan yang pernah dilakukan UMNO.

Suara rakyat menjadi pemerhati dan pengimbang, sebegitu raja kepada rakyatnya.

Rakyat sebagai contoh, marah dengan UMNO akan kezaliman mereka kepada rakyat, jadi apabila pimpinan UMNO mempergunakan istana dan berselindung di sebalik institusi beraja ditambah dengan menanam api perkauman dan sebagainya telah membuatkan secara tidak langsung institusi beraja terpalit.

Dalam pemahaman dan penjiwaan sejarah yang cetek, nilai kecintaan terhadap bangsa sendiri juga mula terhakis kesan dek sikap pemimpin Melayu itu sendiri telah membuatkan ramai golongan Melayu terkehadapan yang kecewa mulai berontak apabila tidak didengar.

Sebagai contoh apa yang berlaku pada ‘Deklarasi Rakyat’ maka perkara sebegini harus dihentikan, institusi beraja perlu mamainkan peranan dan mempunyai kelompok penasihat dan pemikir dalam kalangan mereka sendiri untuk berdiri ampuh tanpa dipengaruhi mana-mana pendokong berkepentingan sepertimana yang diperuntukkan perlembagaan dengan menjadi naungan buat seluruh rakyat.

Kebangkitan intelektualisme dalam institusi ini yang akan memayungi rakyat pasti membawa kembali sinar buat tanah pusaka tercinta ini.

Kerana itu rejuvenasi institusi beraja dalam asas ‘trisakti’ yang terbina tanpa kita sedari kini mampu membawa Malaysia mengorak kesepaduan baharu.

Slogan raja dan rakyat berpisah tiada akan menjadi slogan keramat dan kembali relevan sekiranya institusi beraja tidak lagi memihak dan hanya mendekati rakyat, untuk rakyat kembali berpaut kepada institusi beraja bagi segenap jalan pencerahan pada segenap kebuntuan yang terjadi dalam tanahair.

Keterlibatan dalam siasah sebagai naungan kepada seluruh rakyat dengan program-program yang mesra dan bersama rakyat mampu menyemai lagi jalan dalam memekarkan tautan ini.

Raja juga perlu dampak intelek dari segi keterampilan termasuk dalam menangani segenap hal semata demi rakyat, dan tidak wajar menjadi simbol kosong demi kesejahteraan dan kesaktian dirgahayu Malaysia tercinta.

MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
Exco ARMADA (Pendidikan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia.