Home Nasional Singapura sambut baik kerjasama keselamatan Pulau Batu Puteh

Singapura sambut baik kerjasama keselamatan Pulau Batu Puteh

Ng Eng Hen

SINGAPURA – Singapura mengalu-alukan cadangan Malaysia mengenai kerjasama keselamatan di perairan sekitar Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah dan berminat untuk meneroka bagi menjalankan rondaan atau misi mencari dan menyelamat bersama, The Straits Times melaporkan dengan memetik Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Dr Ng dilaporkan beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh rakan sejawatannya dari Malaysia Mohamad Sabu dalam satu temu bual dengan The Straits Times yang diterbitkan pada Jumaat sambil berkata kerjasama akan mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua negara jiran itu.

Mohamad berkata kedua-dua negara boleh menjalin kolaborasi untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan laluan masuk ke Selat Singapura berhampiran Batuan tengah dan Pulau Batu Puteh.

Pada masa ini, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand menjalankan rondaan bersama di sepanjang Selat Melaka dari Laut Andaman hingga ke Selat Singapura dan garisan masuk dari Laut China Selatan.

Dr Ng berkata tidak ada gunanya bagi Singapura dan Malaysia mengerahkan lebih banyak sumber di sekitar Pulau Batu Puteh atau Batuan Tengah jika kedua-dua tersebut boleh bekerjasama sambil menambah rondaan serta misi mencari dan menyelamat bersama adalah satu kemungkinan.

“Saya fikir…pastinya sebagai jiran terdekat, kerjasama itu adalah situasi menang-menang dan kami akan mengkaji lebih banyak peluang untuk mengadakan kerjasama,” kata beliau.

Mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia, Dr Ng menarik perhatian tentang perlunya untuk menangani kerajaan baharu dengan mengamalkan prinsip kematangan, saling menghormati dan persefahaman.

Kematangan adalah perlu untuk mengetahui bahawa kerajaan baharu akan melakukan perkara yang berbeza, kata beliau.

Penghormatan harus diberikan kepada kerajaan baharu sebagai yang berkuasa hari ini dan pada masa yang sama, ia juga penting untuk memahami keadaan dan cabaran mereka, kata Dr Ng.

“Jadi, saya akan mendekati kerajaan Malaysia yang baharu dalam tempoh beberapa bulan pertama ini dengan kematangan, hormat-menghormati dan persefahaman…Dan apabila kita boleh membantu, kita akan membantu. Tetapi ia adalah berdasarkan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama,” kata beliau. — BERNAMA