LOS ANGELES – Majlis hari jadi bertukar menjadi huru hara apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau bertindak mencederakan sembilan orang termasuk enam daripadanya kanak-kanak.
Sebuah agensi berita melaporkan, lelaki tersebut yang hadir tanpa dijemput muncul secara tiba-tiba di kompleks pangsapuri murah yang menempatkan para pelarian di Idaho, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Menurut jurucakap polis, Bill Bones serangan itu bermotifkan balas dendam berikutan suspek yang dikenal pasti polis sebagai Timmy Kinner, 30, dari Los Angeles itu diminta meninggalkan kediaman berkenaan di ibu negeri Boise Jumaat lalu.
“Suspek bukan pelarian tetapi tinggal beberapa kenalannya. Bagaimanapun, dia telah diminta keluar dari kawasan berkenaan kerana dipercayai mendatangkan pelbagai masalah dalam kalangan mereka dan penduduk setempat.
“Oleh kerana rasa tidak puas hati, dia muncul kembali ketika majlis hari jadi semalam dengan bersenjatakan pisau bagi membalas dendam kerana menghalaunya keluar dari kawasan itu.
“Ketika ini, kita masih lagi menyiasat latarbelakangnya, kes ini juga jenayah berat memandangkan enam daripada empat kanak-kanak yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan.
Kanak-kanak terbabit berusia antara tiga hingga 12 tahun cedera selepas ditikam dan ditoreh oleh suspek yang kelihatan ‘menggila’ seketika sebelum berjaya ditangkap oleh penduduk setempat.
Kebanyakan pelarian dalam kompleks itu berasal dari Syria, Iraq dan Habsyah. – MalaysiaGazette