KUALA LUMPUR – Penulis lirik dan penyanyi Aizat Amdan bakal mengeluarkan single terbarunya, lagi tentang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bertajuk, Harapan Jadi Nyata, single yang tersimpan selama hampir tujuh tahun tercetus daripada ilham kepimpinan dan perjuangan Tun M.
“Sejujurnya inspirasi lagu ini datang daripada ayah saya yang ingin menzahirkan perasaan hormat dan kagumnya kepada Tun M yang juga merupakan pemimpin idolanya.
“Lagu ini hanya untuk memberi penghormatan kepadanya setelah berjasa pada Malaysia begitu lama. Saya tidak sangka pula dia akan naik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.
“Sayangnya, ayah saya sekarang diserang penyakit strok. Saya pasti dia gembira dengan keadaan Tun sekarang. Kalau bukan sebab sakit, mungkin sekarang ayah saya pun turut aktif menyokong kepimpinan Tun,” katanya.
Tidak mempunyai niat untuk menerbitkan lagu berunsurkan patriotik, Aizat berkata, Harapan Menjadi Nyata satu simbolik kepada perubahan negara selepas pertukaran kerajaan baharu-baharu ini.
“Sebenarnya kami tak merancang pun nak keluarkan lagu berunsur patriotik. Tapi selepas dapat kerajaan baharu pada 10 Mei yang lalu, keadaan dan suasana negara macam berubah. Like a breath of fresh air untuk Malaysia.
“Jadi saya fikir sangat sesuai untuk single yang pernah saya tulis ini sebagai tribute to this historic moment yang boleh kita ingat selama-lamanya,” tambahnya.
Single yang berkonsepkan pop balada ini merupakan ciptaan sepenuhnya Aizat dan dirakam di Emil Berliner Studio, Berlin, Jerman.-MalaysiaGazette