KUALA LUMPUR – Semakan semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan pertumbuhan di antara negeri-negeri, jurang pendapatan di antara masyarakat terutamanya golongan B40, kadar pengangguran anak muda serta kos sara hidup yang tinggi.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, semakan semula itu akan dibentangkan di Parlimen pada pertengahan Oktober ini
Ini merupakan kali pertama kerajaan Pakatan Harapan membentangkan laporan tersebut dan tegasnya selain menyemak semula percapaian selama dua tahun pertama pelaksanaan RMK11, ianya penting bagi mengenal pasti dan mencari jalan untuk mengatasi semua isu dan cabaran yang dihadapi di dalam pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun itu.
“Petunjuk-petunjuk makroekonomi menunjukkan prestasi pertumbuhan yang mapan, stabil, inflasi yang rendah serta kadar pemilikan pekerjaan yang penuh tetapi cerita di sebaliknya adalah berbeza,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi ke -18 oleh Bank Dunia di sini hari ini.
Tambah Azmin, pengukuhan pertumbuhan ekonomi sebenar adalah keutamaan kerajaan namun begitu fokus utama diberikan untuk memastikan rakyat mendapat kehidupan yang lebih berkualiti.
Jelasnya, semua usaha untuk mengukuhkan ekonomi serta kedudukan fiskal kerajaan dan memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat akan dilakukan serentak. – MalaysiaGazette