Home Politik Hukuman ke atas Mat Nadzari ditentukan pada sidang DUN – Hannah

Hukuman ke atas Mat Nadzari ditentukan pada sidang DUN – Hannah

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji untuk meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 supaya semua pengasuh termasuk mereka yang hanya menjaga seorang kanak-kanak didaftarkan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji untuk meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 supaya semua pengasuh termasuk mereka yang hanya menjaga seorang kanak-kanak didaftarkan.

SHAH ALAM – Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor belum mencapai keputusan untuk menentukan hukuman ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Jawatankuasa itu yang bermesyuarat kali kedua hari ini, hanya membuat ketetapan untuk mendapatkan kelulusan Dewan pada persidangan Mac ini.

Menurut Pengerusinya yang juga Speaker DUN, Hannah Yeoh, keputusan akan diumumkan pada sidang DUN bulan depan selepas satu perbincangan diadakan.

“Kita bermesyuarat hari ini bukan untuk menentukan hukuman, tetapi sebagai perbincangan berhubung kenyataan Mat Nadzari pada sidang DUN November tahun lalu.

“Sebarang keputusan ke atas ADUN berkenaan akan diputuskan pada sidang DUN Mac ini. Sebelum itu, kita akan berbincang dahulu,” katanya kepada media selepas mempengerusi mesyuarat itu di Bilik Mesyuarat Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada 6 Februari lalu, Mat Nadzari dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung kenyataan yang dikeluarkannya ketika sidang dewan pada 1 November tahun lalu.

Pada sidang itu, beliau mengemukakan soalan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adakah terdapat sebahagian daripada komponen dalam pentadbirannya, matlamat pertubuhan itu untuk menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem Parlimen Berperlembagaan.

Maknanya kata beliau, ada isi atau niat barangkali untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan kepada Parlimen Berperlembagaan dan ini memungkinkan institusi diraja tidak diiktiraf berbanding Barisan Nasional (BN) yang terbukti bukan saja mendukung dan menjunjung institusi diraja, malah bertanggungjawab sepenuhnya membela Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hannah, hasil mesyuarat hari ini, pihaknya telah menyiapkan satu penyata mengenai kes itu dan akan dibentangkan pada sidang DUN untuk perbahasan. – MalaysiaGazette