Home Nasional Ahmad Zahid sambung beri keterangan SPRM esok

Ahmad Zahid sambung beri keterangan SPRM esok

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas memberikan keterangan berhubung siasatan dua isu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2018.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas memberikan keterangan berhubung siasatan dua isu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan keterangan hampir sembilan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zahid yang keluar dari perkarangan SPRM jam 5.30 petang berkata, beliau hanya memberikan keterangan mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenyataan saya buat ketika saya bertemu wakil keluarga Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz. Mereka perlukan maklumat kerana diperoleh daripada media,” katanya dalam sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM sejurus selesai memberikan keterangan.

Menurutnya, keterangan yang dibuat beliau berhubung kenyataannya pada 22 April 2015 bahawa beliau telah bertemu dengan anggota keluarga Diraja Arab yang dikatakan memberikan derma kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid pada sesi bersama UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada tahun itu.

Ahmad Zahid adalah individu paling lama disoal siasat berhubung kes 1MDB selepas Najib dan isterinya dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM.

Najib mengambil masa empat jam dalam sesi pertama pada 22 Mei lalu dan selama tujuh jam pada 24 Mei.

Manakala SPRM pula mengambil masa lima jam untuk merekodkan keterangan Rosmah.

Kedua-dua mereka diambil keterangan dalam siasatan baru ke atas SRC International Sdn. Bhd.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB sehingga diletakkan bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan dipanggil semula esok bagi memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap Yayasan Akal Budi yang kini disiasat SPRM.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata Ahmad Zahid telah dihubungi SPRM bagi tujuan tersebut.

Ahmad Zahid didakwa dikaitkan sebagai pengerusi sebuah yayasan yang didaftarkan pada tahun 1997 dan memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.

Beliau dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000. -MalaysiaGazette