Bagi memastikan kos perubatan mampu dibiaya, para pesara khususnya mereka yang tidak memiliki pelan insurans perubatan peribadi, sewajarnya membuat simpanan khas perubatan.
Azura Amri, 41, penyelia di sebuah syarikat percetakan di sini, berkata para pencarum harus mempunyai kesedaran dari awal bahawa apabila usia meningkat, tahap kesihatan juga akan terjejas dan risiko untuk menghidap penyakit tiga serangkai iaitu diabetis, sakit jantung dan darah tinggi adalah tinggi.
Para pencarum yang akan melalui fasa persaraan sudah tentu pada peringkat itu mereka hanya mahu memikirkan tentang keluarga dalam keadaan fikiran yang tenang, namun isu kesihatan tidak mustahil bakal menjejaskan harapan yang didambakan mereka selama ini.
“Mereka perlu bijak mengatur wang caruman yang diperoleh mereka. Bukan hanya sekadar memikirkan untuk membeli itu dan ini serta melangsaikan hutang semata-mata sehingga tiada simpanan untuk tujuan kesihatan sedangkan ia adalah isu paling penting.
“Pencarum yang tidak mempunyai pelan perlindungan insurans peribadi paling wajar mengutamakan simpanan khas untuk kesihatan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Azura berkata, justeru, para pencarum wajar mewujudkan akaun simpanan kesihatan agar simpanan mereka lebih terurus dan perbelanjaan kesihatan terjamin.
“Cara ini mungkin lebih baik kerana mereka dapat menguruskan kewangan mereka untuk kegunaan kesihatan secara lebih efisien.
“Kalau akaun bercampur dengan akaun simpanan untuk kegunaan lain, dikhuatiri ia akan menyebabkan pengurusan kewangan mereka sedikit celaru,” katanya.
Bagi Alif Abdul Rahman, 25, kerani am di sebuah stesen minyak, persiapan yang mencukupi perlu dibuat kerana isu kesihatan bukan sesuatu yang boleh dijangka.
“Saya sarankan dari masa sekarang para pencarum perlu ambil perlindungan insurans peribadi, kerana jika mereka tiada peruntukan untuk tampung kos perubatan daripada duit simpanan KWSP yang diperoleh, sekurang-kurangnya ada insurans.
“Kalau bernasib baik ada anak-anak bantu tidak mengapalah, bayangkan jika mereka tidak ada anak atau isteri ataupun suami, ini akan sekali gus menjejaskan kehidupan harian nanti.
“Tetapi bila kita pandang remeh isu kesihatan, kita tidak akan ada kesedaran dan persediaan untuk menyimpan duit khusus bagi menampung kos rawatan perubatan apabila kita tua nanti,” katanya.
Katanya, penyakit yang hanya memerlukan pencarum dirawat sebagai pesakit luar mungkin tidak menelan belanja yang tinggi, namun apabila perlu dimasukkan ke hospital selepas didiagnos menghidap penyakit serius, ketika itu jika tiada simpanan ke mana mereka perlu minta bantuan?
Berkongsi pendapat sama, L. Srinivasa, 46, yang bekerja di restoran makanan segera, berkata kos sara hidup yang tidak menentu menjadikan isu kesihatan sebagai isu penting yang perlu diberi keutamaan.
“Kita tidak tahu akan datang kos perubatan sama ada mahal atau murah tetapi yang pasti kita kena sediakan payung terlebih dahulu. Mungkin beberapa peratus daripada jumlah caruman boleh diketepikan bagi tujuan kesihatan,” katanya.
— BERNAMA