Home Nasional Penerbit disaran terbit buku dalam bahasa braille – Maszlee

Penerbit disaran terbit buku dalam bahasa braille – Maszlee

Maszlee
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (dua kanan) melihat buku Fiqh Al-Hadith pada Majlis Pelancaran Buku Fiqh Al-Hadith Syarah Bulugh Al-Maram di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 03 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Penerbit buku disarankan agar menerbitkan buku ilmiah dalam versi braille bagi memudahkan anak-anak kurang upaya penglihatan dapat menimba ilmu.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, beliau menerima permintaan daripada Persatuan Orang-Orang Buta dan Pekak di seluruh negara ini meminta kementeriannya campur tangan dengan menggesa penerbit buku mengutamakan pembaca dalam kalangan OKU penglihatan.

“Untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat dan kategori umum membaca, saya sarankan kepada penerbit buku agar menerbit buku-buku mereka dalam bahasa braille.

“Kita dapati tidak ada langsung buku dalam bahasa braille di pasaran. Ini tentunya anak-anak OKU dan golongan yang cacat penglihatan tidak dapat menelaah ilmu pengetahuan melalui pembacaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku Fiqh Al-Hadith Syarah Bulugh Al-Maram di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Beliau juga menyambut baik usaha DBP mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor salam membantu golongan asnaf keluar dari belenggu kemiskinan dengan mewakafkan sebanyak mungkin buku ilmiah.

Menurut Maszlee, selain membantu golongan asnaf dengan duit dan zakat, kedua-dua pihak juga wajar menitikberatkan ilmu dalam kalangan anak asnaf.

“Mereka boleh menyediakan buku-buku berkaitan teknologi dan sains supaya anak-anak asnaf belajar dan dapat menjadi pelajar terbaik sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

“Apabila anak-anak asnaf pandai dalam pelajaran, mereka akan mendapat pekerjaan yang ini, sekali gus mereka berjaya membawa keluar keluarga mereka dari kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Maszlee berkata, dalam tempoh lima atau 10 tahun menjadi Menteri Pendidikan, beliau mahu melakukan beberapa tranformasi supaya setanding dan setaraf dengan pendidikan antarabangsa.

Antara tranformasi yang akan dilakukan ialah membuat anjakan paradigma dan menolong anak-anak dari golongan miskin menerima pendidikan berkualiti.

“Kita akan jadikan buku berkualiti ini iaitu berkaitan agama dan akademi sebagai disiplin yang akan membawa keluar keluarga mereka dari kemiskinan.

“Buku ini bukan saja diberikan pada sekolah untuk peringkat prasekolah sahaja, tapi turut melibatkan anak-anak miskin,” katanya. – MalaysiaGazette