PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak berhasrat untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Pemimpin Barisan Nasional itu berkata, beliau juga tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam parti.
“Kita serahkan kepada kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, jawatan ketua pembangkang ini mesti diputuskan oleh pembangkang.
“Ahli Parlimen Pembangkang belum bermesyuarat lagi,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai pelawaan memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen yang bakal bersidang pada 16 Julai ini.
Beliau turut disoal sebab penolakan itu memandangkan ramai berpendapat bekas Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan itu paling layak untuk menggalas tanggungjawab tersebut berkata: “Saya mahu berehat sebentar untuk memastikan saya boleh bersuara dengan bebas untuk pembaharuan parti (UMNO-BN) saya.
“Kalau kita pegang jawatan ini terikat sikit (tidak boleh bersuara),” katanya.
Ditanya sama ada undi popular yang diperolehi dalam pemilihan UMNO baru-baru ini cukup untuk membawa perubahan dalam parti itu, Khairy berkata, ia menunjukkan majoriti perwakilan dahagakan perubahan.
“Kalau campur undi saya dengan Tengku Razaleigh Hamzah, kedua-duanya dilihat sebahgai suara perwakilan yang hendak perubahan.
“Ini majoriti perwakilan jadi jangan menganggap perwakilan UMNO tidak mahu membawa pembaharuan cuma mungkin kerana ada banyak pilihan, perubahan yang dikehendaki tak dapat berlaku kali ini.
“Jadi kemenangan dengan majoriti mudah oleh Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) adalah isyarat besar kepadanya jikalau gagal atau berjaya membawa perubahan yang diinginkan dalam parti.
“Maka saya yakin beliau (Ahmad Zahid) mampu membawa perubahan dalam parti, dalam politik kita harus menerima keputusan akar umbi,” ujarnya.- MalaysiaGazette