PUTRAJAYA – Tan Sri Zeti Akthar Aziz menafikan tuduhan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa dia tahu mengenai wang berjumlah RM2.6 bilion di dalam akaun bekas perdana menteri itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Guan Eng berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Zeti ketika bertandang ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kementerian Kewangan pagi tadi yang turut dihadiri oleh Tun Daim Zainuddin.
“Zeti melahirkan rasa kecewa dan dia mengatakan ini benar-benar palsu, tidak berasas dan tidak benar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Guan Eng berkata, beliau ada menyarankan sekiranya perkara itu fitnah Zeti perlu mengambil tindakan yang sewajarrnya.
Katanya, beliau yakin Zeti sedang membincangkan perkara tersebut dengan peguamnya untuk tindakan lanjut.
“Saya tak nak cakap lebih daripada itu. Marilah kita ikut proses dan ikut hak peribadi dari segi perundangan oleh Tan Sri Zeti.
“Saya sebagai Menteri Kewangan yakin terhadap kredibiliti Tan Sri Zeti.
“Kalau nak dibandingkan antara Najib dan Zeti siapa yang kamu akan percaya? Biarlah rakyat Malaysia yang pilih tapi apa yang penting, saya tahu apa yang dia perlu buat,” ujarnya.
Terdahulu, Guan Eng meluangkan masa kira-kira 40 minit menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy. – MalaysiaGazette