KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melayan bekas Datuk Seri Najib Razak yang ditahan hari ini dengan baik dan menjaga maruahnya sebagai seorang bekas pemimpin negara.
Rafizi melahirkan rasa simpati kepada Najib yang ditahan oleh SPRM menerusi komen dalam akaun Twitternya dengan berkata; “Saya antara orang yang banyak kritik beliau. Tapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas perdana menteri, dijaga maruah dan air muka.”
Selain Rafizi, seorang lagi peguam yang juga Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan turut senada dengan mengharapkan pihak berkuasa tersebut mematuhi peraturan dan sebolehnya tidak perlu digari.
“Jika Najib dimasukkan lokap, sila pastikan peraturan lokap dipatuhi. Undang-undang perlu dipatuhi, tidak kira jika kita tidak suka orang itu dan bagi saya, tak perlu guna gari,” katanya.
SPRM menahan Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur sebelum membawa bekas perdana menteri itu ke ibu pejabat mereka di Putrajaya.
Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan Najib akan didakwa di mahkamah esok. – MalaysiaGazette