KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) menerusi anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management & Services Engineering (PRIME), dianugerahkan kontrak menyediakan latihan kepada penyelia operasi dan pemandu sistem transit aliran massa (MRT) Jakarta.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIME, Masnizam Hisham berkata, latihan untuk kakitangan rel Indonesia itu akan dijalankan oleh Akademi Rel, pusat latihan di bawah pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd.
“Kumpulan pertama 10 pemandu dan lima penyelia tren akan datang ke Akademi pada bulan April 2017 disusuli kelompok seterusnya di samping peluang menambah kerjasama di bidang-bidang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Prasarana adalah pengendali operasi, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.
Tambah Masnizam, surat penerimaan cadangan latihan telah diterima pada bulan Januari dan PRIME agresif meneroka pasaran antarabangsa selepas kejayaan operasi MMMSL.
Katanya, kerjasama antara Prasarana dan MRT Jakarta telah terlaksana selepas kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Jakarta pada Oktober tahun lalu.
Di bawah MoU itu, Prasarana bersetuju berkongsi pengalaman dalam perancangan dan operasi aliran rel bandar dengan pengendali Indonesia. – MalaysiaGazette