KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara tebuka mengakui dirinya bukan seseorang yang gemar ‘memadam’ komen negatif yang diterima di media sosialnya.
Malah Ahli Parlimen Muar itu rela membiarkan sahaja untuk ditatap umum.
Beliau menganggap komen baik di Instagram dan Facebooknya itu dianggap sebagai sesuatu yang membantunya ‘memperbetulkan’ dirinya.
Malah seandainya tuduhan atau kritikan itu tidak berasas, Syed Saddiq juga tidak pernah memadamnya.
“Saya paling banyak berkomunikasi menggunakan media sosial, banyak mengeluarkan pendapat, pandangan atau mengeluarkan kritikan dan vokal melaluinya.
“Saya tidak nafikan ada juga komen-komen tidak berasas, mengkritik atau tidak bersetuju dengan pandangan saya. Pada saya, sekiranya perlu membela, saya akan jawab tetapi tidak pernah sekali pun memadam atau menafikan pandangan-pandangan tersebut.
“Saya bukan jenis ‘syok sendiri’ yang hanya mahu pandangan umum yang baik-baik serta positif sahaja daripada saya. Ada segelintir pihak yang saya tidak mahu sebut suka pula buat sebaliknya tetapi saya bukan begitu.
“Komen sebegitu sebenarnya membina. Saya tidak mahu ‘warna’ cerita sebaliknya kepada umum atau pengikut saya,” katanya ketika sesi dialog Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2018 di sini hari ini.
Tambah Syed Saddiq yang kini mencatat sejarah menjadi menteri termuda di negara ini, dirinya akan sentiasa menggunakan media sosial sebagai penghubung kerana ianya lebih efektif.
“Saya akan cuba beri maklumbalas kepada semua yang menghantar pesanan dan pertanyaan kepada saya seboleh yang mungkin.
“Pertemuan dan duduk semeja untuk membincangkan sesuatu juga merupakan satu keperluan bagi memastikan sesuatu isu itu dapat dilaksanakan bukan sahaja komunikasi dalam media sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga mendedahkan dirinya tidak ‘berubah’ sejak bergelar menteri dengan menjadi ‘induvidu’ lain dengan imej berbeza sebaliknya kekal dengan keadaan sebelum ini.
“Apa sahaja yang saya muat naik, saya lontarkan pandangan sebagai diri saya sendiri atau sebagai menteri semuanya sama seperti dahulu. Anda akan lihat saya bercakap tentang politik atau tentang kucing.
“Saya rasa pengikut serta rakyat perlu kenal saya seperti itu, bukan ubah diri saya kepada yang lain. Sudah tentu perkara peribadi adalah sesuatu yang saya akan elak tetapi saya akan kekal kepada diri dan indentiti diri ini,” katanya. – Malaysia Gazette