KUALA LUMPUR – Bekas veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan supaya pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disegerakan dan tidak dibicarakan sehingga tahun depan.
Beliau berkata, tidak molek untuk kes seperti ini dibiarkan tertangguh sehingga enam bulan kerana akan meremehkan sistem perundangan negara.
“Patut kes Datuk Seri Najib disegerakan pendengarannya. Menunggu hingga bulan Feb 2019 bererti lebih setengah tahun kes ini tergantung.
“Ini aneh dan amat mendera yang dituduh dan meremehkan sistem keadilan. Harus dua-dua pihak mohon mahkamah untuk semak jadual awalan demi keadilan,” katanya dalam Twitter beliau sebentar tadi.
Bekas Penasihat Sosiobudaya kerajaan dibawah pentadbiran Najib itu mengulas mengenai tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada 18 Februari tahun hadapan.
Ia ditetapkan Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes berhubung dakwaan ke atas Najib.
Malah beliau turut menetapkan tempoh perbicaraan ditetapkan selama 19 hari.
Najib akan dibicarakan dari 18 hingga 28 Februari 2019, 4 hingga 8 Mac 2019 serta 11 hingga 13 Mac 2019.
Pihak pendakwaraya yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan barisan peguambela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan keputusan berkenaan. -MalaysiaGazette