KUALA LUMPUR – Laporan dan kenyataan Bank Dunia tentang hutang negara baru-baru ini jelas menunjukkan kerajaan tidak memberi gambaran tepat dan adil berhubung kedudukan hutang negara dan risikonya.
Kenyataan-kenyataan kerajaan mengenai hutang negara ini sebelum ini seolah-olah mahu memburuk-burukkan imej Kerajaan Barisan Nasional yang berjaya memartabatkan prestasi ekonomi sehingga diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, naratif hutang negara yang kerap dibentangkan oleh Menteri Kewangan tidak menggambarkan keadaan ekonomi negara yang menyeluruh.
Gambaran tentang hutang negara tanpa memasukkan unsur risiko rendah atau terhad ini adalah tidak lengkap dan boleh disifatkan tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, kerajaan sewajarnya membentang kedudukan hutang dengan lebih menyeluruh dan mendalam akan kedudukan hutang negara dan mengulas risiko-risikonya secara objektif dan realistik dan bukannya hanya memberikan nilai keseluruhan secara kasar yang boleh menimbulkan persepsi buruk, spekulasi dan situasi panik.
Katanya, hutang negara yang tinggi sebagai justifikasi keperluan Tabung Harapan adalah tidak munasabah seolah-olah mencerminkan situasi hutang negara amat meruncing dan terlalu kritikal.
“Ini juga satu tindakan kurang wajar. Kerajaan yang bertanggungjawab, tidak sepatutnya membenar dan menyokong inisiatif yang boleh menakut-nakutkan sesetengah rakyat dengan gambaran ekonomi dan hutang yang tidak tepat,” tambah beliau.
Khaled berkata, alasan hutang negara semakin meningkat hanyalah alasan bagi mengelak atau menangguhkan perlaksanaan beberapa manifesto Pakatan Harapan (PH) yang terlalu populis dan dibuat tanpa mengambil kira kemampuan negara.
“Bagi mengelak dari melunaskan janji-janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari, PH memilih untuk terus menerus menyalahkan kadar hutang negara yang digembar-gemburkan secara tidak tepat.
“Menukar komitmen dengan menyatakan bahawa janji-janji PRU-14 kerajaan hanya akan dilaksanakan apabila keadaan kewangan bertambah baik turut menunjukkan Pakatan Harapan tidak merancang dengan baik dan gagal mengira kos perlaksanaan sebelum menawarkan manifesto populis tersebut,” katanya di sini.
Baru-baru ini, Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM): Menavigasi Perubahan, Bank Dunia menyifatkan hutang negara Malaysia masih terkawal dan tidak akan menjerumuskan negara dalam krisis.
Malah, Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr. Richard Record berkata, Malaysia masih berisiko rendah kerana sebanyak 97.7 peratus daripada jumlah hutang negara adalah dalam denominasi ringgit.
Ia bermakna risiko dari segi pendedahan kepada tukaran asing adalah terhad.
Lagipun, hampir 70 peratus daripada hutang negara adalah hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi 3 tahun.
Bank Dunia juga mengiktiraf Malaysia sebagai ‘kisah kejayaan’ kerana mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi, walaupun hutang negara secara menyeluruh dan kasarnya dikatakan mencecah RM1 trilion.
Tegas Khaled dengan justifikasi laporan Bank Dunia itu membuktikan keadaan ekonomi Malaysia khususnya aspek kadar dan tanggungan hutang serta risiko-risiko terhadnya berada dalam keadaan baik dan terurus.
Lantaran itu tidak ada alasan untuk Kerajaan Pakatan Harapan berdolak dalih untuk melaksanakan manifestonya. – MalaysiaGazette