PUTRAJAYA – Bermula seawal 11 pagi tadi sehingga kini anak tiri bekas Perdana Menteri, Najib Razak iaitu Riza Aziz masih memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Riza telah memberi keterangan hampir 23 jam dan kehadirannya di suruhanjaya itu yang masuk hari ketiga, sejak Selasa lalu, dijangka tamat pada pukul 6.30 petang ini.
Sumber SPRM berkata, Riza akan menyambung memberi keterangan esok.
Beliau menjadi individu paling lama disoal siasat SPRM selepas Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Riza muncul di khalayak ramai pada Selasa lalu selepas namanya disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2016 berhubung siasatan ke atas 1MDB dengan memberi keterangan selama 9 jam dan selama 6 jam semalam. – MalaysiaGazette