KUALA LUMPUR – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui hanya segelintir ahli pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bermasalah dengan beliau.
Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan mereka sebagai satu keluarga.
Jelas beliau, pimpinan pemuda PH akan terus bergerak ke hadapan walaupun apa cabaran yang terjadi.
“Mana-mana kritikan yang datang saya ambil dengan hati terbuka dan saya kena terima. Pada masa sama saya tetap ada hubungan agak baik dengan pimpinan pemuda PH sedia ada.
“Kita akan ada perhimpunan pemuda parti komponen PH dalam masa terdekat. Sebelum ini pun berkali-kali perjumpaan yang kita buat.
“Hubungan tetap sama dan tidak ada masalah serta mungkin segelintir sahaja namun jumlah yang kecil tidak melambangkan pimpin Pemuda PH sedia ada
“Pada masa sama, saya akan terus bekerjasama dengan mereka dan tetap satu keluarga serta uniknya dalam keluarga ini kita akan mara ke hadapan bersama walaupun apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian French Tech Malaysia di French Residence di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.
Beliau diminta mengulas dakwaan segelintir ahli Angkatan Muda Keadilan yang ingin menghantar memorandum kepada pimpinan tertinggi PKR yang membantah pelantikannya sebagai menteri dan meminggirkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Azmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.
Memorandum itu menyatakan Nik Azmi lebih layak untuk dilantik sebagai menteri berdasarkan berpengalaman menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia selama dua pengggal selain bekas Timbalan Speaker DUN Selangor.
Ditanya samada beliau mencantas atau ‘sailang’ Nik Azmi, Syd Saddiq hanya menjawab: “Tiada sailang,”. – MalaysiaGazette