SEREMBAN – Beberapa kawasan di Jempol, Kuala Pilah, Jelebu dan Port Dickson akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada 10 Julai ini berikutan kerja-kerja pemasangan meter dan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata gangguan bekalan air itu adalah selama 24 jam mulai 8 pagi 10 Julai.
“Kerja-kerja ini merupakan antara usaha berterusan SAINS dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan para pelanggan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Para pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982 untuk mendapatkan sebarang bantuan lanjut.- BERNAMA