PUTRAJAYA – Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Aziz hari ini dipanggil semula untuk disoal siasat dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Riza yang juga produser filem Hollywood dipanggil buat kali keempat untuk membantu siasatan dakwaan penyalahgunaan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu pernah dikaitkan kes 1MDB kerana didakwa menggunakan wang milik syarikat berkenaan untuk menerbitkan sebuah filem.
Terdahulu Riza, 48, tiba di ibu pejabat SPRM dengan menaiki kenderaan berjenama Audi berwarna hitam kelihatan memasuki pintu utama agensi itu pada pukul 9.45 pagi tadi.
SPRM sebelum ini telah merekodkan keterangan Riza sebanyak tiga kali pada 3, 4 dan 5 Julai, masing-masing mengambil masa antara sembilan, enam dan tujuh jam.
SPRM sejak Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk bekas Perdana Menteri dan isteri.
Najib dipanggil memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu hadir di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan manakala Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan pada 5 Jun.
Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan lebih 900 akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun-akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB. – MalaysiaGazette