Home Nasional Ada timbalan untuk Mat Sabu

Ada timbalan untuk Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2018
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan melantik seorang Timbalan Menteri Pertahanan dalam masa terdekat.

Tambah Dr Mahathir, pelantikan individu berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana beliau bukan terdiri daripada Ahli Parlimen.

“Ada, tapi tak dapat dilantik waktu ini kerana ia bukan terdiri dari wakil rakyat.

“Kita perlu lantik dia sebagai Senator dulu baru boleh jadi. Tapi ini tak jadi masalah dalam Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau berharap agar Dr Mahathir Mohamad dapat menamakan seorang timbalan bagi kementerian yang diterajuinya.

Kata beliau, dengan adanya seorang timbalan ia dapat melancarkan lagi kementerian berkenaan.

“Memang saya tertunggu-tunggu seorang timbalan.

“Barangkali perdana menteri tercari-tercari calon yang sesuai untuk timbalan menteri pertahanan.

“Kita harap perdana menteri dapat menamakannya dan ia dapat melicinkan lagi kementerian pertahanan,” katanya pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata senarai tiga lagi Menteri Kabinet yang akan dilantik masih belum dimuktamadkan.

Malah katanya senarai itu belum diputuskan oleh Majlis Presiden.

“Kita belum buat keputusan apa lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

+ posts