PULAU PINANG – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,555 kes HFMD dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berbanding hanya 1,050 pada tahun lalu.
Tambah beliau, kebanyakan kes itu dilaporkan berlaku di premis tumpuan kanak-kanak iaitu taska dan tadika dengan 53 buah premis tersebut dikesan menjadi kluster wabak itu sepanjang tahun ini.
Jumlah premis itu, jelas beliau, meningkat sebanyak 381 peratus berbanding tahun lalu yang mana hanya 11 premis tadika dan taska dikesan sebagai kluster penyakit berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska dan tadika digesa sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.
“Selain itu, pengusaha premis tersebut juga bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan HFMD,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penyakit HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.
Kebiasaan jangkitan itu adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
Bagaimanapun, jangkitan EV71 berisiko menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.
Dalam pada itu, Dr. Afif turut menggesa ibu bapa yang mendapati anak mereka mempunyai gejala HFDM supaya tidak menghantar mereka ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain.
“Ibu bapa juga dinasihatkan melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.