KUALA LUMPUR- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan telah melantik seorang penyokong lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) sebagai pegawai khasnya.
Dalam satu hantaran terbaharu di laman instagramnya, menteri yang termuda itu berkata, setakat ini beliau masih belum melantik mana-mana pegawai di Pejabat Menteri Belia dan Sukan secara rasmi.
“Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Pegawai Tugas-Tugas Khas juga belum ada.
“Saya masih dalam proses menemuduga pegawai untuk berkhidmat di Pejabat Menteri Belia dan Sukan. Saya tidak ingin tergesa-gesa dalam pelantikan jawatan kerana saya sedar mengetuai KBS adalah satu tanggungjawab yang besar,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, beliau memerlukan pasukan yang terbaik dalam KBS untuk mengangkat dan memartabatkan suara anak muda.
“Terdapat banyak perkara tersembunyi di seluruh Malaysia dan sebab itu saya mengambil pendirian untuk menerima CV dari sesiapa pun melalui [email protected],” katanya.
Hari ini tular di media-media sosial yang kononnya Presiden Pelangi Campaign, Numan Afifi telah dilantik sebagai pegawai khas Syed Saddiq.
Numan sebelum ini dia dikatakan pernah menganjurkan majlis berbuka puasa gay dengan alasan untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai latar untuk berbuka bersama-sama serta berdialog supaya kasih sayang dapat disebarkan. – MalaysiaGazette