Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, dalam kejadian 1.15 pagi itu, kereta dipandu wanita berusia 34 tahun terlibat turut melanggar sebuah van Toyota Hiace serta dua kereta iaitu Perodua Bezza dan Perodua Myvi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian wanita terbabit yang memandu dalam keadaan mabuk dan gagal mengawal keretanya sehingga terbabas dan turut cedera dalam kejadian itu.
“Kemalangan ini dipercayai berlaku semasa kereta dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Bandar Tawau hendak ke Jalan Tiku, namun apabila sampai di Jalan Chong Thien Vun iaitu selepas bulatan Kubota, Vios tersebut hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan seterusnya melanggar tiga kenderaan lain serta beberapa orang yang sedang melepak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fadil berkata empat mangsa maut dikenali sebagai Hiew Nyuk Wei,30, Clawence Wong Vun Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16, dan Chong Wei Chan,21 manakala mangsa patah kaki ialah Chin Guan Xiong,21.
Beliau berkata semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat manakala dua yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. — BERNAMA