Home Nasional Rais tidak terima ‘isyarat’ bakal Yang Dipertua Dewan Rakyat

Rais tidak terima ‘isyarat’ bakal Yang Dipertua Dewan Rakyat

Tan Sri Dr Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) –  Tan Sri Dr Rais Yatim berkata beliau tidak menerima sebarang ‘isyarat’ tentang pencalonannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Bekas menteri dan veteran UMNO itu, yang namanya disebut-sebut bakal menyandang jawatan itu, berkata sebarang keputusan bergantung kepada usul yang akan dikemukakan pada Sidang Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.

“Sebenarnya saya secara formalnya tidak menerima apa-apa isyarat. Saya fikir ini salah satu reaksi masyarakat dan juga badan-badan bukan kerajaan yang mengemukakan pandangan tersebut.

“Namun semuanya bergantung kepada usul yang mungkin dibawa oleh pihak berkuasa pada 16 hari bulan ini, hanya selepas itulah agaknya boleh ada penyusulan,” katanya kepada Bernama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, hari ini.

Menurut Rais, buat masa ini perkara itu tidak wajar dibangkitkan kerana pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dibuat oleh pelbagai pihak baik dari pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Rais, yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang, sebelum ini dikatakan calon pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga sebelum beliau menolak spekulasi itu, selain bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh yang dikatakan calon pilihan partinya DAP.

Hannah kini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Persidangan mesyuarat pertama penggal pertama, majlis Parlimen Ke-14 dijadual berlangsung selama 20 hari, mulai 16 Julai ini dengan urusan pertama mesyuarat pada hari berkenaan adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persidangan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada keesokan harinya, iaitu 17 Julai pada jam 10 pagi.

— BERNAMA