KUALA LUMPUR – Mengambil semangat Allahyarham Datuk Siti Rahmah Kassim yang terkenal dengan gelaran ‘Tokoh Gelang’, Pergerakan Wanita UMNO menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dalam membantu keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak menyelesaikan wang ikat jamin esok.
Hasilnya, hari ini pergerakan itu berjaya mengumpul sebanyak RM261,286 sumbangan orang ramai termasuk RM3,000 yang diperoleh Datuk Zaleha Bujang, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin hasil lelongan gelang emas miliknya.
Kesemua sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad kepada bekas perdana menteri itu di kediamannya hari ini.
“Ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti.
“Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 bagi menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Esok keluarga Najib dikehendaki membayar baki RM500,000 lagi wang jaminan selepas Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Baki wang jaminan itu perlu dibayar sehingga jam 3 petang esok di Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Noraini berkata beliau bangga dengan kesungguhan ahli-ahli Wanita UMNO yang sanggup bergadai demi menunjukkan kesetiaan kepada parti biarpun Nanib bukan lagi Presiden UMNO.
“Saya berasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ahli-ahli Wanita UMNO di seluruh negara untuk membantu Datuk Seri Najib.
“Teruskan menjadi Melayu yang tidak mudah lupa kepada jasa dan bakti pemimpin terdahulu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette