PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di beberapa cawangan kedai peneraju utama tekstil tanah air di sekitar Kuala Lumpur menerusi Ops Mega 3.0 yang dijalankan pada 6 Julai lepas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan 36 rakyat Bangladesh.
“Jabatan Imigresen telah memberi tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka daripada golongan PATI. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh sesetengah majikan.
“Oleh itu, mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan bagi membanteras lambakan PATI di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mustafar berkata sejak Ops Mega 3.0 dilaksanakan dari 1 hingga 6 Julai lepas, pihaknya menjalankan 595 operasi dan hasilnya 1,475 PATI dan 28 majikan ditahan.
Sepanjang tempoh bermula 1 Januari 2018 sehingga 7 Julai 2018 JIM telah mengadakan sebanyak 7,477 Operasi Penguatkuasaan di seluruh Negara. Seramai 91,650 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 22,126 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. Selain itu 585 majikan turut ditahan sepanjang tempoh ini.
Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 7,327 orang diikuti oleh warga Bangladesh seramai 4,483 Filipina seramai 2,237, Myanmar seramai 2,188 dan bakinya adalah dari negara-negara lain.- MalaysiaGazette