PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan belum lagi memberi keputusan rasmi kepada Singapura berhubung Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).
“Kita memang belum memberi mereka keputusan penuh lagi, tetapi mereka tahu apa yang kita mahu lakukan,” katanya pada sidang media di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Jelas beliau, bukan mudah untuk kerajaan membuat keputusan mengenai projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.
“Keputusan tidak begitu mudah dibuat. Apabila (kerajaan) membuat keputusan dan mengumumkannya, pasaran akan bertindak balas negatif.
“Pasaran seolah-olah suka tidak suka dimaklumkan perkara-perkara yang baik itu adalah tidak benar, mereka bertindak balas dengan membawa keluar wang, berhenti melabur dan semua itu.
“Tetapi sebenarnya apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk memastikan negara ini berjalan dengan sistem kewangan dengan betul. Pasaran sepatut menghargainya,” tambah beliau.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Singapura, Khaw Boon Wan yang masih belum menerima maklum balas Malaysia mengenai keputusan projek HSR.
Singapura telah meminta Kerajaan Malaysia, melalui saluran diplomatik mengesahkan status projek HSR yang menghubungkan kedua-dua negara.
Khaw berkata, Singapura telah membelanjakan lebih daripada AS$250 juta untuk projek HSR dan sejumlah AS$40 juta lagi atau lebih pada akhir tahun ini. – MalaysiaGazette