Home Dunia 5 mangsa terakhir dalam Gua Tham Luang berjaya dikeluarkan

5 mangsa terakhir dalam Gua Tham Luang berjaya dikeluarkan

12 pemain bola sepak dan penolong jurulatih berjaya dikeluarkan selepas 18 hari terperangkap dalam Gua Tham Luang. foto Reuters

BANGKOK – Empat pelajar terakhir dan seorang penolong jurulatih bola sepak yang terperangkap di Gua Tham Luang, dekat Chiang Rai berjaya dikeluarkan dalam operasi yang mendebarkan.

“Mangsa yang kesembilan dibawa keluar pada pukul 4.06 petang,” menurut Facebook Thai Navy Seals.

Pelajar ke-10 juga keluar sejurus selepas itu, diikuti mangsa ke-11 dan ke-12 pada pukul 6.25 petang.

Penolong jurulatih pemain bola sepak itu adalah mangsa terakhir yang keluar.

Operasi menyelamat yang masuk hari ketiga itu bermula pagi tadi bagi mengeluarkan lima lagi mangsa selepas lapan pelajar berjaya dikeluarkan semalam dan kelmarin.

Pemain-pemain bola sepak dan jurulatih dari Mu Pa Academy itu terperangkap dalam gua berkenaan sejak 23 Jun lalu selepas kawasan gua itu dinaiki air.

Banjir di gua itu memang berlaku berikutan musim monsun yang membawa hujan lebat.

Beberapa media melaporkan tiga daripada empat pelajar terbabit diberi pil penenang bagi memastikan mereka tidak panik semasa operasi menyelamatkan itu dijalankan.

Seramai 19 penyelam menyertai operasi menyelamat berisiko tinggi itu.

Seorang doktor dan tiga orang tentera yang bersama 13 mangsa selepas ditemui pada hari Sabtu lalu turut dibawa keluar.

Mangsa-mangsa yang terperangkap itu ditemui oleh dua penyelam Britain. Ketika itu mereka sedang berada kawasan sempit di tepi tebing dalam gua tersebut.

Difahamkan operasi hari ini hanya mengambil masa lebih cepat berbanding 11 jam pada hari Ahad dan sembilan jam semalam. – MalaysiaGazette