MADRID – Selepas sembilan tahun, 16 piala kejuaraan dan 451 gol, Cristiano Ronaldo akhirnya meninggalkan Real Madrid hari ini.
Laporan di Madrid mengesahkan superstar berusia 33 tahun dari Portugal itu sudah menyertai Juara Serie A Juventus.
Bekas pemain Manchester United itu meninggalkan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah dengan nilai perpindahan berjumlah 99.2 juta atau $117 juta (RM530 juta).
“Real Madrid ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada bintang yang terbukti terbaik di dunia selain menempah masa emas sejarah Real Madrid dan dunia bola sepak,” kata kelab Sepanyol itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam surat terbuka kepada penyokong Real Madrid, Ronaldo berkata, dia telah menyerlah bersama Real dan tiba masanya untuk memulakan kitaran bola sepak yang baharu.
Musim lalu, bintang Portugal itu menjaringkan gol luar biasa menentang Juventus di Turin yang dianggap antara gol terbaik dunia juara Eropah.
Ronaldo juga memulakan kempen Piala Dunia Rusia 2018 dengan menjaringkan hatrik dalam aksi pembukaan yang terikat seri dengan Sepanyol sebelum Portugal disingkirkan Uruguay pada pusingan ke-16.
Ronaldo menyertai Madrid dari Manchester United pada tahun 2009 dengan nilai perpindahan rekod dunia 80 juta dan diberi klausa pelepasan 1 bilion euro.
Dia muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang hayat Real Madrid, menjulang empat liga juara-juara Eropah, dua gelaran la Liga dan dua trofi Copa del Rey.
Ejennya, Jorge Mendes telah berbincang dengan Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli di Greece pada Selasa untuk memuktamadkan klausa terakhir perjanjian itu.
Ronaldo menandatangani kontrak 4 tahun dengan gaji tahunan sekitar 30 juta Euro.
“Untuk Real Madrid, Ronaldo akan sentiasa menjadi simbol terbaik dan rujukan unik untuk generasi akan datang.
“Real akan sentiasa menjadi kediaman tetap kamu (Ronaldo),” sebut kenyataan rasmi itu.
Ronaldo berkata:” saya hanya mempunyai perasaan bangga dan menghargai kelab ini disebabkan sokongan penyokong setia serta bandaraya Madrid yang indah.
“Bagaimanapun, saya percaya masanya telah tiba untuk membuka fasa baharu dalam kehidupan saya dan sebab itulah meminta kelab menerima tuntutan perpindahan saya (Juventus).
“Saya berharap semua pihak termasuk penyokong di Sepanyol memahami dan menghormati keputusan saya,” tegasnya.
Dengan perpindahan ini, Ronaldo kini menjadi pemain bernilai tinggi sepanjang masa di dunia selepas Neymar ke Paris Saint Germain dan Mbappe. – MalaysiaGazette