Home Nasional Mohd. Zaini tak ‘takut’ walaupun 260 kali derma darah

Mohd. Zaini tak ‘takut’ walaupun 260 kali derma darah

Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad bergambar bersama sijil penderma paling aktif pada Majlis Perasmian Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018
Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad bergambar bersama sijil penderma paling aktif pada Majlis Perasmian Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Jika diminta derma darah buat kali pertama sudah pasti kebanyakan kita takut ada komplikasi badan menjadi lemah atau pengsan.

Tetapi bagi Sarjan Mejar Mohd. Zaini Ahmad, 58, yang sudah menderma darah sebanyak 260 kali ia seolah-olah menjadi amalannya.

Malah kegemarannya menderma darah melebihi galakan Pusat Darah Negara yang mahu orang ramai menderma darah tiga bulan sekali.

Mohd. Zaini tidak bermegah diri kerana banyak kali menderma darah sebaliknya berharap ia menjadi sumbangan kepada mereka yang memerlukan untuk terus hidup.

“Kali pertama saya menderma darah ialah pada tahun 1981 iaitu dua tahun selepas saya menyertai Polis Diraja Malaysia. Pada mulanya memang ada rasa takut dengan jarum tebal dan panjang yang dicucuk pada tangan untuk sedut darah tetapi mengingatkan insan yang memerlukan, saya reda.

“Sejak itu, saya sentiasa pergi ke Pusat Darah Negara dan menderma darah dua kali dalam sebulan (dua minggu sekali) sehinggalah 260 kali sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau ditemui di Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Bukit Aman yang disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Program yang sama turut dihadiri Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin.

Kata Mohd. Zaini, beliau gembira dan bersyukur kerana tuhan masih memberikan peluang untuk beliau menderma darah untuk menyelamatkan lebih ramai nyawa orang lain.

“Tiada yang lebih mulia daripada menyelamatkan nyawa lain dengan darah kita, itu juga komitmen polis selain menjamin keselamatan awam dan negara.

“Saya akan terus menderma darah selagi terdaya selain menggalakkan anak-anak dan ahli keluarga saya untuk turut mengamalkan tabiat derma darah ini,” tegasnya.

Mohd. Zaini bersama dua lagi anggota polis berpangkat Inspektor dan Asisten Superintendan hari ini juga dihargai dengan menerima sijil penghargaan dan juga saguhati berbentuk wang daripada PDRM sebagai insan paling kerap menderma darah.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyasarkan lebih 400 anggota PDRM dapat menderma darah pada program sehari di Bukit Aman hari ini berbanding seramai 342 orang menyumbang pada tahun lepas.

“Saya difahamkan, sebanyak 2,000 kampit darah diperlukan setiap hari seluruh negara, apatah mereka yang menderma darah setahun sekali. Ia 88 peratus berisiko rendah mengalami serangan jantung selain membantu menggantikan sel darah dan seimbangkan zat besi dalam badan.

“Sebagai tanggungjawab sosial kami PDRM, saya harap program tahunan ini diteruskan dengan komitmen anggota dan pegawai PDRM untuk menderma darah demi menyelamatkan nyawa lain,” katanya lagi.- MalaysiaGazette