CHIANG RAI – Hampir semua kanak-kanak yang diselamatkan dari sebuah gua di Thailand semalam hilang berat badan secara purata 2 kilogram namun semua berada di dalam keadaan sihat.
Mereka juga tidak menunjukkan tanda-tanda tekanan, kata iOnspektor Jabatan Kesihatan Thailand, Thongchai Lertwilairattanapong.
Katanya, kanak-kanak berkenaan mendakwa tidak melihat terdapat kelawar atau binatang lain di dalam gua tersebut bagaimanapun doktor masih memantau sebarang petunjuk penyakit berjangkit.
Sampel-sampel telah dihantar ke makmal Hospital Chulalongkorn, Bangkok dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua hari lagi.
Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak telah mendapat rawatan pneumonia.
Menurut ahli psikiatri Royal College of Psychiatrists, Dr. Ananya Sinrachatanant, kesihatan mental mangsa masih lemah dan beliau menggesa semua pihak memberikan masa kepada mereka untuk bertenang dan elakkan bertanya mengenai keadaan mangsa apatah lagi menyalahkan mereka ke atas yang telah terjadi.- MalaysiaGazette