SINGAPURA – Singapura pernah meminta pihak berkuasa Hong Kong untuk membantu menahan Low Taek Jho, individu yang paling dikehendaki berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada bulan April 2016.
Tetapi permintaan itu tidak persetujui, menurut Polis Singapura.
TheEdgemarket.com melaporkan, waran tangkap untuk Low atau kenali sebagai Jho Low dan Eric Tan Kim Loong dikeluarkan oleh Singapura pada bulan April dan Mei 2016.
Bertindak atas maklumat yang diterima, Singapura telah meminta Jabatan Kehakiman Hong Kong untuk bantuan menangkap Jho Low di bawah Perjanjian Antara Kerajaan Republik Singapura dan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China untuk Penyerahan Pesalah Pelarian.
“Permintaan Singapura ditolak oleh pihak berkuasa Hong Kong,” kata jurucakap itu tanpa mengulas lanjut.
Menurut laporan oleh South China Morning Post pada 7 Julai lalu, pihak berkuasa Hong Kong dan Macau telah menutup mulut berhubung dakwaan bahawa Jho Low telah melarikan diri dari wilayah itu dan bersembunyi di bekas tanah jajahan Portugis.
Ini kerana Singapura dan Malaysia tidak membuat permohonan untuk menahan Jho Low, kata laporan tersebut.
“Singapura tahu tentang laporan berita itu yang mendakwa tiada permohonan daripada Singapura kepada Hong Kong bagi penahanan dan ektradisi Low Taek Jho. Laporan itu tidak benar,” kata Polis Singapura.
Tambahnya, sehingga kini, kedua-dua waran tangkap dan Notis Merah Interpol terhadap Low masih berkuatkuasa. Low individu penting kepada Singapura dalam penyiasatan yang berkaitan dengan 1MDB. – MalaysiaGazette