Home Ekonomi BNM mungkin turunkan OPR tahun depan – Bank Islam

BNM mungkin turunkan OPR tahun depan – Bank Islam

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) tahun depan, terutamanya jika ketidaktentuan yang menyelubungi perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat berterusan untuk meningkat, kata Bank Islam Malaysia Bhd.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata, OPR perlu diturunkan jika pergeseran antara dua gergasi ekonomi dunia itu mulai secara negatif memberikan kesan kepada pertumbuhan global dan seterusnya keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia memandangkan keterbukaan ekonomi kepada perdagangan.

“Bagaimanapun, kami percaya tidak akan ada sebarang perubahan kepada OPR tahun ini. Jika ada, ia akan hanya bermula daripada 2019 dan ke atas,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Bank Islam Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, BNM hari ini mengumumkan bahawa OPR kekal pada 3.25 peratus dan kadar OPR semasa itu serta tahap daya tahan monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar yang dimaksudkan.

Dari segi pertumbuhan ekonomi, Mohd Afzanizam berkata, KDNK Malaysia dijangka berkembang lebih dari lima peratus tahun ini.

“Trajektori pertumbuhan Malaysia masih baik dan pada masa sama, kadar inflasi adalah stabil. Justeru tidak perlu untuk menurunkan OPR pada masa ini.

“Untuk ringgit, jangkaan kami lebih kepada penurunan dalam lingkungan 3.95-4.05 berbanding lingkungan 3.85-3.95 sebelumnya, berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi perang perdagangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette