KUALA LUMPUR – Indeks volum Perdagangan Borong dan Runcit terus meningkat, merekodkan 5.8 peratus kepada 166.1 mata bagi Mei 2018 berbanding Mei 2017.
Pertumbuhan ini disokong oleh pengukuhan dalam Perdagangan Runcit ( 7.5%) dan Perdagangan Borong (7.0%).
Pada bulan yang sama, indeks volum pelarasan bermusim Perdagangan Borong & Runcit meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit sekali lagi mencapai lebih dari RM100 bilion untuk kali ketiga pada tahun ini dengan merekodkan RM103.7 bilion pada Mei 2018 (Januari 2018: RM101.1 bilion; Mac 2018: RM103.8 bilion).
Dari segi pertumbuhan, nilai jualan telah meningkat sebanyak 7.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2017, dipacu oleh Perdagangan Runcit (9.3%) dan Perdagangan Borong (7.8%).
Menurutnya, indeks volum Perdagangan Borong meningkat 7.0 peratus kepada 181.2 mata pada Mei 2018 berbanding Mei 2017. Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum ini (pelarasan bermusim) merekodkan pertumbuhan positif 1.3 peratus.
Perdagangan Borong kembali mengekalkan momentum dengan nilai jualan RM50.5 bilion, berkembang 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagi perbandingan bulan ke bulan, perniagaan ini meningkat 4.0 peratus.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, indeks volum Perdagangan Runcit mencatatkan kadar pertumbuhan 7.5 peratus kepada 166.3 mata pada bulan ini. Berbanding April 2018, indeks volum pelarasan bermusim Perdagangan Runcit meningkat 3.1 peratus.
Dalam bulan rujukan, perdagangan runcit merekodkan nilai jualan sebanyak RM40.9 bilion atau peningkatan 9.3 peratus berbanding Mei 2017.
Secara purata, jualan bulanan yang direkodkan bagi setiap pertubuhan berjumlah RM162,000 (April 2018: RM155,000). Bulan ke bulan, nilai jualan perniagaan ini turut meningkat dengan ketara daripada pertumbuhan negatif 4.2 peratus kepada 4.5 peratus.
Mohd Uzir berkata, indeks volum kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan negatif 4.5 peratus kepada 126.2 mata pada Mei 2018 berbanding setahun yang lalu. Bagi perbandingan antara bulan, indeks volum pelarasan bermusim perniagaan ini turut merekodkan pertumbuhan negatif 1.6 peratus.
Nilai jualan bagi Kenderaan Bermotor berjumlah RM12.3 bilion, tertinggi dicapai sejak Julai 2017 (RM12.4 bilion). Bagi perbandingan antara tahun, nilai jualan subsektor ini merekodkan pertumbuhan negatif 3.1 peratus.
Walau bagaimanapun, bagi perbandingan antara bulan, nilai jualan kembali mencatatkan pertumbuhan positif 1.8 peratus selepas mengalami pertumbuhan negatif 1.7 peratus pada April 2018. – MalaysiaGazette