Home Utama Dulu tohmah BN, sekarang telan tuduhan sendiri – Najib

Dulu tohmah BN, sekarang telan tuduhan sendiri – Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak terkejut apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST bukan punca kenaikan harga barangan.

Lantaran itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, sekarang kerajaan yang memerintah mengakui bahawa apa yang menjadi tomahan dan tuduhan mereka sebelum ini adalah tidak benar.

Sedangkan, sebelum ini Pakatan Harapan sering menggunakan alasan GST sebagai modal untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

“Terkejut saya pagi ini apabila membaca kenyataan Menteri Pakatan Harapan yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik, biarpun itulah modal dan tohmahan digunakan terhadap kerajaan sebelum pilihanraya.

“Pada masa itu, PH tidak menerima jawapan kita malah mempersendakannya.Kini, Pakatan Harapan terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan mereka sendiri,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

Malah, katanya, pengakuan menteri itu menunjukkan kebarangkalian untuk harga barang naik apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan adalah tinggi.

Justeru tambahnya, seperti mana yang dikatakannya sebelum ini adalah tidak mudah untuk mengubah sistem cukai adalah benar.

“Oleh kerana harga barang tidak turun selepas GST disifarkan, saya bimbang apabila cukai SST diperkenalkan dan diperluaskan pada September nanti, harga barang akan naik lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan.

“Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 mengenai ini.

“Ini sudah tentu memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan ini bertentangan dengan janji Pakatan Harapan yang memberi setinggi harapan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dalam manifesto mereka,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin berkata, penurunan harga barangan yang rendah menjadi punca rakyat masih belum merasai sepenuhnya pelaksanaan GST sifar sejak 1 Jun lalu. – MalaysiaGazette