Home Seni Hidup Armin cerai Ziana talak satu

Armin cerai Ziana talak satu

Foto Instagram Ziana Zain.
Ziana Zain.

SHAH ALAM – Kemelut rumah tangga penyanyi Ziana Zain sampai ke penghujung apabila suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri melafazkan cerai talak satu hari ini.

Armin membuat lafaz itu pada pukul 2.45 petang di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Nizar Mohtar di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Peguam Ziana, Yusfa Hanis Yussoff berkata, pasangan itu sepatutnya hadir ke mahkamah bagi proses pelantikan hakim keluarga bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan tersebut.

Bagaimanapun katanya, Armin selaku defendan kes itu memberitahu bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap Ziana sebelum prosiding bermula.

Turut hadir pada prosiding itu adalah adik Ziana yang merupakan penyanyi, Anuar Zain.

Pada 3 April lalu, Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah memfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, dan Armin, 53, bernikah pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Perkahwinan mereka mencatat sejarah dalam dunia hiburan negara pada ketika itu kerana ia disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Malah majlis pernikahan itu juga turut dibuka kepada peminat untuk sama-sama meraikannya. – MalaysiaGazette