KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines akan membawa 15,000 jemaah haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah pada 14 Julai ini.
Dalam kenyataannya, Malaysia Airlines berkata, ia melibatkan sebanyak 80 penerbangan dengan menggunakan pesawat A380-800.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia juga akan mengendalikan 88 penerbangan perantara menggunakan pesawat B737-800 untuk membawa 13,200 jemaah haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, dan Kuala Terengganu ke KLIA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail berkata, dengan menggunakan A380-800 ia menyediakan sebanyak 494 kerusi, sekaligus memberi keselesaan kepada para penumpang.
Bagi memastikan penerbangan haji yang pertama itu berjalan lancar, Malaysia Airlines telah melatih 400 orang kakitangannya termasuk anak kapal dan kru teknikalnya, pengendali lapangan serta pekerja operasi.
Katanya, penerbangan akhir membawa jemaah haji berlepas dari KLIA pada 15 Ogos 2018 dan penerbangan membawa balik pula bermula 29 Ogos hingga 25 September. – MalaysiaGazette