JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan terus memelihara institusi sekolah agama dan pusat tahfiz di Johor dan akan terus ditambah baik sekali gus tidak mahu ia dipolitikkan.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, peranan dimainkan oleh institusi pendidikan agama Islam itu penting dalam membentuk asas-asas keagamaan yang kukuh dalam jati diri rakyat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri Pakatan Harapan langsung tidak bercadang untuk mengenepikan institusi pendidikan agama Islam di negeri ini.
“Tidak dapat dibayangkan akibatnya kepada umat Islam di negara dan khususnya negeri Johor jika mendapat pendidikan agama yang tidak sempurna atau daripada sumber meragukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, institusi pendidikan agama Islam di negeri ini telah lama sebati dalam kalangan Bangsa Johor yang majmuk sejak diilhamkan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar.
Tambahnya, selain mengejar kemajuan ekonomi dan infrastruktur, kemajuan dari segi jati diri dan kemanusiaan juga menjadi salah satu asas sebuah bangsa yang kuat dan di sini peranan pendidikan agama jelas terpancar kepentingannya.
“Justeru, saya berharap rakyat tidak akan termakan dengan persepsi negatif yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, seolah-olah kerajaan hari ini tidak mengambil berat akan institusi-institusi ini,” katanya. – MalaysiaGazette