Home Uncategorized Malaysia, Guizhou kaji penerbangan terus

Malaysia, Guizhou kaji penerbangan terus

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan untuk melancarkan penerbangan terus bagi meningkatkan kesalinghubungan dari Malaysia ke Guizhou di China bagi menggalakkan pelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, mereka akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Air Asia, Malindo Air, Malaysia Airlines dan China Southern Airlines mengenai laluan yang memungkinkan seperti Pulau Pinang atau Kuala Lumpur dan Guiyang, ibu negeri Guizhou.

“Guizhou menawarkan banyak tarikan pelancongan dan keajaiban semula jadi dan mempunyai beberapa tapak warisan UNESCO yang harus dikunjungi oleh rakyat Malaysia dan melawat permata tersembunyi ini.”

“Pada masa yang sama, penerbangan terus akan menarik lebih ramai pelancong dari wilayah tersebut ke negara ini,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Promosi Guizhou Berwarna-Warni 2018, di sini Khamis.

Beliau berkata, 20,000 pelancong direkodkan dari Malaysia ke Guizhou, tahun lepas.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatanuasa Wilayah Guizhou (CPC) Mu Dugui berkata pihaknya akan melakukan penambahbaikan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim. — BERNAMA