BANGKOK – Penemuan status kewarganegaraan jurulatih bola sepak Wild Boars yang terperangkap selama dua minggu di dalam gua Lam Thung mengejutkan banyak pihak dan mereka meminta supaya Ekkapol Chantwong atau Ek diberikan kewarganegaraan Thailand.
Ek adalah salah seorang daripada kaum minoriti Tai Lue yang merupakan salah satu kumpulan yang bergerak di sekitar rantau ini melintasi sempadan selatan China, Myanmar dan Laos dan memasuki utara Thailand sejak beberapa generasi lalu.
Kebanyakan mereka tidak mempunyai taraf kewarnegaraan Thailand dan diisytihar secara rasmi sebagai tiada kerakyatan.
“Ek adalah seorang yang baik dan merendah diri. Beliau menyukai sukan, berbasikal dan bermain bola sepak sejak kecil.
“Beliau pasti gembira dapat menjadi warganegara Thailand,” kata salah seorang ahli keluarganya, Charoenpol Rattanaweerachon, 5 2.
Jurulatih Wild Boars itu menjadi perhatian apabila menjadi satu-satunya orang dewasa di dalam kumpulan yang terdiri daripada 12 kanak-kanak yang terperangkap di dalam gua berkenaan sejak 23 Jun lalu diselamatkan dalam satu operasi yang sangat dramatik dan merbahaya.
Menurut Charoenpol, Ek mula menjadi sami Budha pada usia 10 tahun selepas bapanya meninggal dan tinggal di sebuah kuil di Chiang Mai sehingga berusia 20 tahun.
Beliau kemudiannya meninggalkan dunia sami untuk menjaga neneknya.
Ek membuat pelbagai kerja rencam dan tinggal dalam kehidupan yang ringkas yang selalu tidur di biara di atas bukit atau bersama rakan-rakannya di Bandar Mae Sai berhampiran sempadan Myanmar dan tidak jauh dari kompleks gua berkenaan.
Beberapa pihak berpendapat, latar belakang Ek sebagai sami mungkin membantu beliau kekal tenang dan membantu kanak-kanak tersebut semasa menghadapi saat-saat genting ketika gua berkenaan ditenggelami banjir.
“Saya rasa beliau telah banyak membantu kanak-kanak melalui pengalaman luas beliau sebagai sami selama 10 tahun,” kata Charoenpol. – Agensi