Home Nasional Operasi hospital medan Malaysia di Cox’s Bazar ditambah baik

Operasi hospital medan Malaysia di Cox’s Bazar ditambah baik

COX'S BAZAR, 26 Nov -- Keadaan pelarian Rohingnya yang serba kekurangan dan memerlukan perhatian di Kem Pelarian Rohingnya Kem Balukhali semalam. Lebih dari 621,000 pelarian yang tiba di Bangladesh ketika pasukan keselamatan Myanmar memulakan kempen bumi hangus terhadap kampung Rohingya.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedang meningkatkan usaha bagi menambah baik pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh yang telah mula beroperasi sejak November lepas.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, menterinya, Mohamad Sabu telah membuat lawatan ke hospital berkenaan semalam bagi meninjau pengoperasian HMM serta melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam pelaksanaan misi tersebut pada masa depan.

“Lawatan ini juga merupakan kerjasama Kementerian Pertahanan bersama pasukan sukarelawan Amal Relief Malaysia (ARiF) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghantar keperluan kepada warga Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem pelarian berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, antara sumbangan yang disampaikan untuk kegunaan kem pelarian tersebut termasuk empat unit Sistem Rawatan Air Medan SafeWhere bernilai RM167,000 yang merupakan sistem rawatan air medan berkapasiti dan berteknologi tinggi yang direka sendiri melalui satu projek kolaborasi antara ATM dan IMARET (Pasukan Bantuan Persatuan Perubatan Islam).

Dalam lawatan itu, seunit Mesin X-Ray Mudah Alih, 1,000 helai t-shirt dewasa dan kanak-kanak, 300 kain batik, 300 selimut thermal, 50 guni selimut, 300 unit kit kebersihan’, 10 kotak penapis air dan pelbagai makanan seperti biskut, roti dan sardin disumbangkan untuk kegunaan di kem pelarian berkenaan.-BERNAMA