Home Nasional Siti Aishah, Doan Thi Huong sedar mereka perlu bunuh Jong-nam

Siti Aishah, Doan Thi Huong sedar mereka perlu bunuh Jong-nam

Seorang petugas media tempatan membaca artikel mengenai kes kematian Kim Jong-Nam melalui telefon pintarnya ketika bertugas sehingga lewat malam berkaitan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang mati dibunuh di klia2, Sepang 13 Februari lalu dihadapan Institut Perubatan Forensik Negara, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR- Polis mengesahkan dua suspek Doan Thi Huong dan Siti Aishah sudah tahu mengenai perancangan untuk membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, malah kedua-duanya telah beberapa kali menjalani latihan sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perbuatan tersebut adalah terancang dan kedua-dua suspek maklum bahawa cecair yang disapu ke muka mangsa adalah toksik.

“Sudah tentu mereka (rancangan pembunuhan).

“Mereka juga tahu cecair yang disapu ke muka mangsa adalah toksik dan selepas selesai kedua-dua wanita tersebut diarahkan oleh empat suspek yang sudah meninggalkan negara ini untuk membersihkan tangan di tandas,” katanya semasa sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Khalid, reman kedua-dua wanita tersebut akan disambung tujuh hari lagi selepas tamat hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut.

Manakala teman lelaki Siti Aishah, Muhammad Farid Jallaludin yang merupakan seorang lelaki tempatan dibebaskan dengan jaminan polis.- MalaysiaGazette